Hot Todays

Terengganu VS Kelantan

Sila REFRESH Jika Terputus

Terengganu Rombak Barisan Pemain Hadapi Kelantan


KUALA TERENGGANU, 9 Feb (Bernama) -- Pasukan Terengganu akan membuat rombakan barisan pemain bagi menghadapi perlawanan menentang Kelantan di Stadium Sultan Mohammad ke-IV di Kota Baharu pada Selasa ini.

Ketua jurulatih, Mat Zan Mat Aris, berkata ia ekoran persembahan yang kurang memberangsangkan ketika aksi menentang Selangor PKNS malam tadi.

Katanya fungsi di beberapa bahagian pasukan itu tumpul dan kurang menjadi lantas beliau membuat keputusan untuk membuat rombakan barisan kesebelasan utamanya.

"Kelantan merupakan seteru utama kami jadi kita perlu satu pasukan yang mantap untuk menyaingi mereka," katanya.

Mat Zan berkata antara yang dilihat paling ketara memerlukan perubahan ialah di bahagian tengah.

Pada aksi padang sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi, Terengganu hanya mampu seri 1-1 dengan Selangor PKNS.

Gol tuan rumah dijaringkan oleh pemain import kelahiran Liberia, Francis Forkey Doe pada minit ke-37 sebelum Mohd Helmi Remeli menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat sembilan minit kemudian.

Mat Zan berkata keputusan seri itu meleburkan impian Terengganu untuk berada di takhta Liga Super.

Pemain Terengganu diberi amaran elak rasuah

KUALA TERENGGANU - Pemain bola sepak negeri Terengganu; pasukan Terengganu dan pasukan bertaraf kelab T-Team sekali lagi diingatkan supaya mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala rasuah dalam bola sepak.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata sejak awal-awal lagi sebelum menandatangani kontrak, pemain kedua-dua pasukan diberi amaran jangan terlibat dengan rasuah.

"Betullah nak untung cepat tetapi ia akan membunuh dan menghancurkan masa depan pemain itu sendiri.

"Kalau ditangkap, pemain itu tidak ada peluang lagi bermain setelah didapati bersalah manakala yang kedua silap-silap mereka dipenjara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Baru-baru ini seorang pemain Skuad Liga Perdana Perlis disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terlibat mengatur perlawanan berikutan kekalahan teruk Perlis 7-2 kepada MP Muar pada 9 Januari lalu.

Ahmad menasihatkan pemain agar tidak diperalatkan oleh bookie, orang yang berkepentingan dan sebagainya.

Ahmad berkata berdasarkan pengalaman yang lalu, ada pemain Terengganu terlibat dengan rasuah dan diharap ia tidak berulang lagi.

Pasukan Terengganu dan T-Team kini masing-masing menduduki tempat ketiga dan ketujuh dalam Liga Super. - Bernama

Capello letak jawatan sebagai pengurus England

FABIO Capello telah meletakkan jawatan sebagai pengurus pasukan England selepas menyuarat bersama pengerusi FA, David Bernstein dan setiausaha agung FA, Alex Horne di Stadium Wembley, berkuatkuasa serta-merta hari ini.

Mesyuarat selama satu jam tersebut berbincang tentang perlucutan tugas John Terry selaku ketua pasukan England dan kenyataan Capello di stesen televisyen Itali yang mencabar keputusan FA itu.

Bernstein bagaimanapun menegaskan Capello bersikap profesional dalam mesyuarat itu dan selama beliau menjadi pengurus pasukan England.

"Kami terima perletakan jawatan beliau dan setuju ini adalah keputusan terbaik. Pihak kami ingin berterima kasih atas segala jasa beliau bersama pasukan England," katanya.

Capello sebelum ini bertegas bahawa hukuman dikenakan kepada Terry tidak adil kerana dia belum dibicarakan tentang kes berbaur perkauman terhadap pemain QPR, Anton Ferdinand.

Perbicaraan kes itu akan bermula pada 9 Julai depan, iaitu sebaik sahaja kejohanan EURO 2012 berakhir.

Menurut sumber dari ESPNsoccernet, pengurus Tottenham Hotspurs, Harry Redknapp telah disenaraikan sebagai pengganti Capello oleh pihak FA.

Bekas pengurus pasukan England, Sven-Goran Eriksson percaya bahawa Redknapp adalah pengganti yang sesuai.

"Dia orang England, dia sudah tahu cara permainan mereka. Dia juga cemerlang bersama Spurs dan pasukan sebelum ini," katanya kepada BBC.

Misteri empat kereta terbakar

SUBANG JAYA -“Jiran ketuk rumah berkali-kali memaklumkan kedai runcit yang diusahakan saya di tingkat bawah pangsapuri Seri Nipah, Subang Mas di sini terbakar.

Namun sebaik tiba di bawah saya terkedu melihat kereta Proton Iswara milik saya sebenarnya yang terbakar,” kata Mohd Nazim Nasaruddin, 28, salah seorang daripada empat pemilik kereta yang musnah terbakar, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, Mohd Nazim berkata, sebaik diberitahu oleh jirannya mengenai kejadian, dia bergegas meluru ke tingkat bawah pangsapuri.

“Sampai sahaja di tingkat bawah, saya lihat kereta jenis Mini Cooper yang diletakkan betul-betul di depan kedai runcit diusahakan sudah musnah terbakar.

“Bimbang api merebak ke kereta saya yang diletakkan bersebelahan, saya kemudian mengambil keputusan mengalihkan kereta ke tempat lain tetapi perbuatan itu ditegah penduduk lain,” katanya ia berikutan kedengaran bunyi letupan dari kereta yang musnah terbakar.

Mohd Nazim berkata, dia cuba memadamkan api yang mula merebak ke keretanya dan dua kereta lain menggunakan pakaian yang terdapat di dalam kereta.

“Apabila merasakan keadaan mulai selamat, saya terus mengalihkan kereta ke tempat lebih selamat.

“Kejadian menyebabkan saya kerugian ribuan ribu ringgit, namun bersyukur ia tidak merebak hingga ke kedai runcit diusahakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 pagi itu disedari oleh salah seorang peniaga kedai makan berhampiran.

Katanya, pekerja restoran itu memaklumkan terlihat kepulan asap keluar dari sebuah kereta menyebabkan dia bingkas mendapatkan bantuan dan berusaha memadamkan api.

Tambahnya, saksi memaklumkan kebakaran bermula dari bahagian enjin kereta jenis Mini Cooper sebelum merebak ke tiga lagi kereta bersebelahan.

Punca kebakaran dipercayai daripada litar pintas yang berlaku di bahagian enjin kereta itu.

“Empat kereta yang musnah terbakar termasuk kereta jenis Proton Iswara, Mini Cooper, Toyota Corolla, dan Perodua Kelisa. Kerugian dianggarkan melebihi RM200,000.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang unsur khianat dan setakat ini ia diklasifikasikan sebagai kes bencana,” katanya.

Bola Sepak Tempatan

Bola Sepak Antarabangsa