Pemain Terengganu diberi amaran elak rasuah

KUALA TERENGGANU - Pemain bola sepak negeri Terengganu; pasukan Terengganu dan pasukan bertaraf kelab T-Team sekali lagi diingatkan supaya mengelakkan diri daripada terjebak dengan gejala rasuah dalam bola sepak.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata sejak awal-awal lagi sebelum menandatangani kontrak, pemain kedua-dua pasukan diberi amaran jangan terlibat dengan rasuah.

"Betullah nak untung cepat tetapi ia akan membunuh dan menghancurkan masa depan pemain itu sendiri.

"Kalau ditangkap, pemain itu tidak ada peluang lagi bermain setelah didapati bersalah manakala yang kedua silap-silap mereka dipenjara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Baru-baru ini seorang pemain Skuad Liga Perdana Perlis disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terlibat mengatur perlawanan berikutan kekalahan teruk Perlis 7-2 kepada MP Muar pada 9 Januari lalu.

Ahmad menasihatkan pemain agar tidak diperalatkan oleh bookie, orang yang berkepentingan dan sebagainya.

Ahmad berkata berdasarkan pengalaman yang lalu, ada pemain Terengganu terlibat dengan rasuah dan diharap ia tidak berulang lagi.

Pasukan Terengganu dan T-Team kini masing-masing menduduki tempat ketiga dan ketujuh dalam Liga Super. - Bernama

Advertisements

Advertisements