PRESTASI hambar beberapa 'awang import' dalam kancah Liga Malaysia setakat ini memberi peluang kepada persatuan untuk mendaftar pemain import baru setelah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melanjutkan tarikh pendaftaran pemain import sehingga 13 Februari ini.
Stakat ini hanya nama seperti Francis Forkey Doe (Terengganu), Jean Emmanuel Effa Owona (Negeri Sembilan), Ramez Dayoub (Selangor), Marlon Alex James (Tentera), Guy Bwele (Sarawak), Patrick Ronaldinho Wleh (Sime Darby) serta Michal Kubala (Perak) sahaja yang terus meniti di bibir peminat tempatan.
Dua pemain import Kedah dari Brazil, Danilo Rafael Dos Santos dan Daniel Soares Neves sudah pastinya menjadi antara pemain import pertama yang akan mengucapkan 'sayonara' kepada kancah Liga Malaysia musim ini.
Begitu juga dengan penyerang import Perak dari Serbia, Lazar Popovic yang belum meledak sebarang gol. Nasib sama mungkin dialami dua penyerang yang tidak sempat pun diturunkan setakat ini Lelo Mbele (Selangor) dan Kalle Sone (Sarawak), kerana masing-masing belum pulih daripada kecederaan.
Meskipun menyumbangkan satu gol kepada pasukan masing-masing, namun begitu sumbangan tersebut masih belum mencukupi untuk Danny Antwi (Kelantan), Zacharia Simukonda (T-Team) dan Nana Yaw (Pahang) meyakinkan pasukan masing-masing.
Dengan syarat terbaru FAM ini, diharapkan pasukan yang bertanding mencari pemain import yang betul-betul berkualiti agar dapat membangunkan lagi kemeriahan liga negara kita, bukan sekadar 'asal boleh' sahaja.

RSS Feed
Twitter
Facebook