Benteng rapuh, PKNS cicir dua mata

KELALAIAN benteng pertahanan menjadi punca PKNS FC tercicir dua mata di laman sendiri bertemu Sabah kelmarin, dan lebih mengecewakan kelebihan dua gol tuan rumah dipadamkan lawan hanya dalam tempoh lapan minit.

“Secara keseluruhan pemain mempamerkan permainan baik terutama pada babak pertama dan awal babak kedua di mana penyerang import, Dawood Nicoise meledak dua gol (m-43 dan 52),” kata pembantu jurulatih, Anuar Abu Bakar yang menggantikan Abdul Rahman Ibrahim di tepi padang selepas pengendali itu digantung tiga perlawanan.

“Tetapi selepas bek tengah, Faizal (Nasir) digantikan kerana ketegangan otot, benteng kami mula goyah dan Sabah cepat menghidu peluang untuk merapatkan jurang.

“Sepatutnya selepas mendahului 2-0, pemain tidak perlu terlalu ghairah menambah jaringan, sebaliknya hanya perlu mengawal situasi dan bertahan. Apabila terlalu ke depan, ia memberi peluang kepada lawan melakukan serangan balas.

“Akibatnya kami tercicir dua mata dan saya rasa keputusan ini perlu dijadikan pengajaran jika pemain mahu terus menyaingi pasukan Liga Super musim ini.”

Anuar berharap kehadiran beberapa pemain dari Argentina dan Brazil yang akan diuji hari ini mampu mengisi slot terakhir pemain import PKNS FC, terutama di bahagian tengah bagi menyokong rentak permainan Nicoise yang cukup bertenaga.

“Sebelum ini kami mempunyai masalah di bahagian penyudah, tetapi selepas Nicoise membuktikan kemampuannya, kami terasa kekurangan di bahagian tengah di mana tidak banyak umpanan cantik dihasilkan untuk penyerang dari Perancis itu,” kata Anuar.

PKNS FC berdepan ujian lebih berat apabila berkunjung ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bertemu Terengganu selepas ini, dan Anuar berharap pemain lebih fokus sepanjang 90 minit serta tidak mengulangi kesilapan yang boleh membawa padah.

Advertisements

Advertisements