Kemenangan Seladang bukan nasib

GOL sendiri pemain Felda United, Muhamad Khairan Ezuan Razali bukan dikira nasib buat Perak menang tipis 2-1 ke atas pasukan itu di Stadium Hang Jebat, Melaka kelmarin.

Jurulatih Perak, Norizan Bakar berkata, kemenangan itu bukan dilihat faktor nasib sebaliknya kegigihan anak didiknya mencipta gol cukup tinggi untuk memburu kemenangan di gelanggang lawan.

Tambahan pula Stadium Hang Jebat menjadi saksi tumbangnya juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor dan Sabah pada perlawanan sebelum ini.

Menurut Norizan, setakat ini beliau berpuas hati dengan aksi gandingan pemain import, Michael Kubala dan Akmal Rizal Rakhli yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan pada setiap perlawanan.

Malah, beliau tidak menafikan bukan mereka sahaja bermain baik malahan, setiap pemain menunjukkan komitmen tinggi untuk membantu kemenangan buat pasukan.

“Buat masa ini saya berpuas hati dengan komitmen setiap pemain termasuk barisan gantian yang bersedia memberi persembahan terbaik setiap kali diturunkan.

“Apa pun perjalanan masih panjang dan masih banyak yang perlu diperkukuh bagi memberi impak berkesan terhadap kematangan gaya permainan,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Felda, E Elavarasan berkata, ketiadaan pemain import memberi kesan terhadap persembahan pasukan secara keseluruhan.

Advertisements

Advertisements