NS mahu daftar bekas pemain La Liga sebelum temui T-Team

SEREMBAN: Skuad Negeri Sembilan berhajat menurunkan pemain import terbaru dari Brazil, Fernando Augusto de Abreu Ferreira, pada perlawanan Liga Super menentang pasukan T-Team minggu depan.

Berdasarkan reputasi tinggi kerana pernah beraksi dalam saingan La Liga bersama Atletico Madrid dan Racing Santander, pemain berusia 27 tahun itu bakal didaftarkan sebelum berdepan dengan T-Team pada 8 Februari ini.

"Jika semuanya berjalan lancar dan tiada masaalah, insyaAllah kalau boleh kita nak daftar dia sebelum berdepan dengan T-Team pada 8 Februari ini," kata jurulatih skuad Hoben Jang Hoben, Mohd Azraai Khor Abdullah, di sini hari ini.

Katanya, pemain pertahanan tengah itu bakal menggantikan rakan senegaranya, Marquem Marquem Gonçalves Ferreira yang tidak melepasi syarat yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Mohd Azraai berkata, berdasarkan pemerhatiannya, pemain dengan ketinggian 1.85 meter itu mempunyai ciri pemain pertahanan tengah yang baik dan serasi dengan rakan sepasukan lain.

Katanya, pemain yang turut memegang kerakyatan Itali itu mempunyai lapan tahun pengalaman bermain di sekitar Eropah, termasuk kelab terakhir IFK Mariehamn, sebuah kelab dari Finland.

Negeri Sembilan kini mempunyai seorang pemain import, Jean Emmanuel Effa Owona dari Cameroon yang bermain di posisi serangan. - BERNAMA

Advertisements

Advertisements