Red Warriors kekal terajui Liga Super

JUARA bertahan, Kelantan mengekalkan penguasaan tangga teratas Liga Super apabila mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas pasukan tangga tercorot, Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam tadi.

Ketiga-tiga gol pasukan tuan rumah dihasilkan pada babak kedua melalui Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-46, Mohd Badhri Radzi pada minit ke-72 dan Dennis Antwi pada minit ke-79.

Kemenangan berkenaan memastikan Kelantan kekal pada puncak liga dengan 13 mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Pencabar terdekat, Terengganu juga konsisten apabila mencatat kemenangan keempat berturut-turut hasil jaringan tunggal Francis Forkey Doe pada minit ke-77 membantu skuad Penyu menewaskan Lions XII 1-0 di Stadium Jalan Besar Singapura.

Selangor pula menamatkan badi empat kekalahan ke atas T-Team pada musim lalu apabila menang 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Red Giants mendahului pada minit ke-35 hasil sepakan penalti Ramez Dayoub namun Zairo Anuar Zailani bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-48.

Azidan Sarudin muncul wira Selangor dengan gol kemenangan pada minit ke-77.

Kedah bertambah derita apabila tewas buat kali ketiga, 1-3 kepada Johor FC di Stadium Darul Aman.

Azi Shahril Azmi menjaringkan gol pertama Johor FC pada minit ke-45.

Skuad Lebah menambah dua lagi jaringan melalui Riduwan Ma’on pada minit ke-64 dan Muhd. Kaironnisam Sahabudin Hussain enam minit kemudian sebelum Khyril Muhymeen memberikan gol saguhati buat Kedah pada minit ke-81.

Di Stadium Negeri Kuching Sarawak berjaya mengikat Negeri Sembilan 2-2 dengan Zamri Morshidi memastikan skuad Rusa pulang hampa apabila berjaya menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-86.

Pasukan pelawat mendahului pada minit ke-45 melalui Ahmad Shakir Ali namun disamakan oleh Kalle Sone menerusi sepakan penalti pada minit ke-51.

Shakir Ali sekali lagi meletakkan Negeri Sembilan di hadapan pada minit ke-82 namun Zamri memastikan kegembiraan pelawat hanya kekal seminit apabila dia meledakkan gol penyamaan.

Di Stadium Hang Jebat, Perak terus mengikuti rapat kedudukan Kelantan dan Terengganu apabila menang tipis 2-1 dengan Felda United.

Keputusan Perlawanan Ke-5 Liga Super 2012

Kelantan 3
Kuala Lumpur 0

Lions XII 0
Terengganu 1

Felda United 1
Perak 2

T-Team 1
Selangor 2

Sarawak 2
Negeri Sembilan 2

Kedah 1
Johor FC 3

PKNS FC 2
Sabah 2

Advertisements

Advertisements