Kepulangan Suarez beri impak buat Liverpool

PENOLONG Pengurus Tottenham, Kevin Bond menjangkakan penyokong Liverpool akan mencipta suasana tegang di Anfield selepas Reds memperoleh semula Luis Suarez daripada penggantungan lapan perlawanan.

Suarez telah digantung Disember lepas oleh Persatuan Bola Sepak England (FA) selepas didapati bersalah mengeluarkan kata-kata berbau perkauman terhadap pemain Manchester United, Patrice Evra ketika pertemuan kedua-dua pasukan Oktober lepas.

Malah, Bond juga menjangkakan penampilan Suarez dinantikan oleh penyokong mereka ketika pertemuan dengan Spurs.

“Ia akan membuatkan mereka gembira memperoleh Suarez kembali dan penyokong akan menantikannya.

“Penampilan Suarez pada perlawanan di Anfield juga akan membuatkan Liverpool kembali kuat kerana dia adalah pemain yang cukup hebat pernah ditandatangani Liverpool,” kata Bond.

Bond telah mengambil alih tugas untuk latihan pasukan Tottenham sejak dua minggu lalu selepas pengurus Harry Redknapp sibuk untuk menyelesaikan dua tuduhan mengelak cukai.

Sementara itu, Liverpool kini berada di tahap prestasi yang baik terutama selepas berupaya menyingkirkan Manchester City dalam Piala Carling.

Malah, skuad bimbingan Kenny Dalglish itu juga kini menghuni tempat kelima Liga Perdana selepas memperoleh kemenangan menentang Wolves dan Newcastle, namun Tottenham yakin mereka mampu mengulangi kemenangan 2-0 di Anfield pada penghujung musim lepas.

“Ia adalah satu pencapaian yang sungguh hebat buat kami pada tahun lepas dan saya yakin kami mampu mengulanginya semula jika kami melaksanakan tugas dengan baik.

“Kami memang memerlukan sesuatu ketika berkunjung ke Anfield dan kemenangan tahun lepas mungkin memberikan kami keyakinan di sana,” kata Bond.

Advertisements

Advertisements