Balotelli ugut mahu pindah

MANCHESTER: Penyerang Manchester City, Mario Balotelli berasa dia diperlakukan dengan kejam dan akan meninggalkan bola sepak Inggeris jika apa yang dianggapnya sebagai layanan tidak adil berterusan.

Ejennya, Mino Railo berkata, pemain Itali berusia 21 tahun itu berdepan penggantungan empat perlawanan selepas dituduh melakukan perbuatan ganas oleh FA ketika menang ke atas Tottenham Hotspur dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu.

“Saya fikir dia berasa dirinya diperlakukan dengan kejam dan ia tidak boleh berterusan,” kata ejennya kepada BBC Radio 5 Live.

“Kami mempunyai imej yang jelas mengenai kerjayanya pada peringkat awal dan saya sudah memberitahu media secara terbuka yang Mario akan terus kekal di City untuk sekurang-kurangnya tiga atau empat tahun, membantu kelab ini dalam projek penting mereka selain membesar sebagai seorang lelaki dan pemain.

“Jelas sekali jika dia digantung tiga atau empat perlawanan bagi satu musim, kami tidak boleh terus begini dan perlu menamatkannya.

“Tapi, jika itu kesnya dan pengadil Inggeris serta FA Inggeris ingin menyaksikan Mario meninggalkan England, maka kami akan menimbangkan perkara itu dengan serius walaupun itu bukan niat kami sebenarnya.”

Balotelli menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan selepas menyempurnakan sepakan penalti ketika menang 3-2 ke atas Spurs tapi kemudian mendapati dirinya berdepan masalah selepas rakaman video menunjukkan dia sengaja memijak kepala pemain tengah Tottenham, Scott Parker.

Pengadil Howard Webb tidak mengambil tindakan pada ketika itu. Balotelli yang pernah dibuang padang tiga kali dalam tempoh 18 bulan bersama kelab itu dibenarkan untuk merayu tapi penolong jurulatih David Platt menekankan, kadang kala rayuan seperti itu tidak mendatangkan hasil.

Kelab itu gagal dalam rayuan mereka terhadap kad merah yang diterima pertahanan tengah Vincent Kompany awal bulan ini dan dia menjalani penggantungan empat perlawanan berakhir pada separuh akhir kedua Piala Liga di Liverpool yang menyaksikan City cuba untuk mengatasi defisit 1-0. - Reuters

Advertisements

Advertisements