ROME: Ejen penyerang Itali, Mario Balotelli semalam mendakwa pengadil terkemuka England, Howard Webb melakukan penipuan terhadap tuduhannya memijak kepala Scott Parker pada perlawanan Liga Perdana antara Manchester City dan Spurs.
Webb yang mengadili perlawanan akhir Piala Dunia 2010 tidak mengambil tindakan ke atas Balotelli yang dilihat sengaja memijak kepala Parker namun kemudian berkata, jika beliau melihat insiden itu pastinya akan mengarahkan pemain City itu meninggalkan padang.
Bagaimanapun Mino Raiola yang menjadi ejen Balotelli tidak puas hati dengan dakwaan Webb itu.
“Saya sangat marah dengan pengadil kerana beliau menipu,” kata Raiola kepada station Radio Radio di Itali.
“Tayangan video di TV jelas menunjukkan pengadil berada tidak lebih semeter dari situ dan beliau memang nampak insiden itu, bagaimana beliau boleh mengaku tidak nampak?” Tidak kira campur tangan Webb selepas perlawanan itu, Balotelli mungkin berdepan penggantungan empat perlawanan selepas didakwa melakukan kesalahan oleh Persatuan Bola Sepak England (FA) semalam.
Balotelli akan menjalani hukuman itu bermula hari ini sekali gus tidak dapat beraksi dalam separuh akhir kedua Piala Liga menentang Liverpool dan tiga perlawanan Liga Perdana jika dia tidak mengemukakan rayuan. - AFP