Butler gelisah benteng goyah

KETUA jurulatih Kelantan, Peter James Butler yang berpuas hati The Red Warriors memperoleh tiga mata selepas membenam pasukan Johor FC 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam kelmarin, akur barisan pertahanan masih gementar dan memerlukan lebih banyak perlawanan untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Saya tahu pemain sedikit gementar kerana mereka mahu menang dan masalah ini akan diatasi selepas mereka mengharungi beberapa perlawanan, malah saya yakin prestasi pasukan akan bertambah baik dalam persembahan berikutnya.

“Masalah kita adalah pertahanan menjadi gementar bila pasukan mendahului kerana mereka mempunyai tugas untuk mempertahankan kedudukan dan mengelakkan pihak lawan menyamakan kedudukan, namun selepas gol kedua dihasilkan, masalah berkenaan berjaya diatasi,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, kelmarin.

Sementara itu, penyerang sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo menyifatkan kemenangan itu adalah hasil usaha keras rakan sepasukan yang membantunya dalam usaha mencari gol kemenangan.

“Tahniah kepada rakan kerana bekerja keras untuk memastikan kemenangan malam ini (semalam) dan kita berjaya mengumpul tiga mata bagi memastikan Kelantan berada pada kedudukan selesa.

“Jaringan kedua saya malam ini (kelmarin) membuat saya lebih yakin menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya.

Advertisements

Advertisements