JURULATIH Perak, Norizan Bakar menyuarakan perasaan lega melihat persembahan bertenaga ditunjukkan anak buahnya ketika merakamkan kemenangan dramatik 2-1 ke atas juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan di laman sendiri, kelmarin.
“Alhamdulillah berkat kesungguhan setiap pemain kami berjaya mencatat kemenangan. Pujian harus diberi kepada pemain kerana berjuang habis-habisan mencapai kemenangan. Walaupun ketinggalan mereka berjaya bangkit melakar kemenangan penting ini,” kata Norizan.
Namun, pengendali berkenaan tidak menolak hakikat betapa masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki segera menjelang pertemuan dengan Johor FC di Pasir Gudang, Sabtu ini.
Tertekan selepas aksi longlai ketika bertemu Selangor di Stadium Bukit Jalil empat hari lalu, pemain Seladang termasuk pemain import, Lazar Popovic menyajikan aksi bertenaga – tambahan mencipta peluang untuk Akmal Rizal Rakhli menjaringkan dua gol.
Sementara itu, Negeri Sembilan belum mahu menekan butang panik sebaliknya menyifatkan hari suram itu sebagai proses pembelajaran kepada pemain muda.
Ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah, berkata kekalahan itu bukan bermakna prestasi skuad bimbingannya itu sudah menurun tetapi akur beberapa kesilapan dilakukan barisan tengah menjadi punca mereka dihukum tuan rumah.
“Saya percaya kekalahan malam tadi memberi pengajaran kepada setiap pemain terus bangkit mempertahankan reputasi pasukan mencapai kemenangan dengan persembahan lebih mantap selepas ini,” katanya.