PENGENDALI Selangor, Irfan Bakti Abu Salim ternyata puas menyaksikan anak buahnya menamatkan badi empat kekalahan musim lalu kepada T-Team dalam pertemuan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam kelmarin.
Menurut jurulatih berusia 60 tahun itu, kemenangan 2-1 mengatasi T-Team bagi mengutip tiga mata di gelanggang lawan adalah sesuatu yang bermakna bagi Merah Kuning.
“Walaupun permainan kami tidaklah terlalu hebat, saya cukup berpuas hati dengan kemenangan ini. Selain kembali mencatatkan kemenangan, badi empat kekalahan kepada T-Team sudah terhapus dan dilupakan,” katanya.
Katanya, kemenangan itu boleh dijadikan pembakar semangat untuk anak buahnya terus mencatatkan kemenangan dan tidak tercicir mata lagi terutamanya perlawanan getir melayan kunjungan LionsXII pada minggu depan.
Kemenangan ke atas T-Team adalah yang kedua kepada Selangor selepas lima perlawanan dengan pemain tengah, Azidan Sarudin menjadi wira menerusi tandukan pada minit ke-78 selepas Ramez Dayoub menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-35 namun disamakan kapten lawan, Zairo Anuar Zailani juga menerusi sepakan penalti pada minit ke-49.
Pada aksi terbabit, Irfan Bakti melakukan dua perubahan dalam kesebelasan utamanya apabila merehatkan Safiq Rahim dan Mohd Razman Roslan yang ternyata membawa tuah kepada Selangor untuk meraih kemenangan selepas gagal dalam dua perlawanan terakhir.
Sementara itu, Ifran Bakti berkata, satu perlawanan persahabatan menentang skuad Olimpik negara kendalian Ong Kim Swee akan digunakannya bagi menguji dua pemain import, Amadou Konte (Mali) dan Bosko Balaban (Croatia) yang dicalonkan untuk menggantikan Lelo Mbele yang disingkirkan.

RSS Feed
Twitter
Facebook