Ivory Coast menyengat

LIBREVILLE: Misi Ivory Coast untuk memburu gelaran kedua Piala Negara-Negara Afrika 20 tahun selepas menjulang trofi itu semakin menjadi kenyataan selepas barisan diketuai Didier Drogba menewaskan Burkina Faso, 2-0, semalam sekali gus menempah tiket ke suku akhir.

Ivory Coast menentang Burkina Faso di Franceville selepas mencipta kemenangan 1-0 ke atas Sudan pada perlawanan pembukaan, Ahad lalu.

Pada minit ke-16, hantaran Drogba disempurnakan rakan sepasukan di Chelsea, Salomon Kalou manakala Bakary Kone pula menjaringkan gol sendiri pada hujung permainan sekali gus meranapkan harapan pasukannya ke suku akhir.

Ivory Coast mengiringi Equatorial Guinea yang turut meraih tiket ke suku akhir selepas menewaskan Senegal, 2-1.

Pengurus Ivory Coast, Francois Zahoui berpuas hati selepas pasukannya berjaya ke suku akhir. “Yang penting kami menang perlawanan ini. Kami menentang lawan yang beraksi 200 peratus lebih hebat selepas kalah perlawanan pertama.

“Mereka menimbulkan pelbagai masalah tetapi kami tetap tenang dan bersabar. Benteng kami kebal bertahan dan tidak melakukan kesilapan.

“Masih ada lagi yang perlu diperbaiki tetapi prestasi pasukan semakin meningkat dari masa ke semasa. Saya mempunyai pemain berpengalaman dan apa yang penting sasaran pasukan menjulang piala,” katanya.

Jurulatih Burkina Faso, Paulo Duarte berkata: “Kami bermain dalam perlawanan hebat dan menentang pasukan handal. Kami mengawal permainan namun akhirnya kecundang”. - AFP

Advertisements

Advertisements