Madrid: Kembali fokus!

MADRID: Barisan pemain Real Madrid kini berazam meningkatkan tekanan terhadap Barcelona yang menyingkirkan mereka daripada saingan Piala Sepanyol dengan mencipta kemenangan ke atas pasukan tercorot, Zaragoza di laman sendiri, hari ini.

Real yang memiliki kelebihan lima mata ke atas Barcelona selaku peneraju La Liga, kemenangan mampu memberi tekanan terhadap kelab Catalan yang beraksi selepas itu bertemu Villarreal di gelanggang lawan.

Khamis lalu, dua pasukan gergasi itu berkongsi empat gol pada perlawanan kedua suku akhir Piala Raja Sepanyol dihantui keputusan kontroversi pengadil. Keputusan seri menyebabkan Real tersingkir selepas Barca meraih kemenangan 2-1, minggu lalu.

Real bagaimanapun beraksi lebih baik pada malam itu dan pastinya memperoleh semula keyakinan selepas tewas perlawanan pertama tapi mereka pastinya kecewa kerana mendakwa pengadil enggan menghadiahkan tiga penalti.

Bagaimanapun, kapten Real, Iker Casillas ingin melupakan kekalahan itu dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap perlawanan hari ini.

“Kalah tak mengapa tapi kami wajib bangkit semula. Kami perlu melupakan detik hitam itu dengan menumpukan terhadap Zaragoza. Sasaran kami kini sudah beralih dan berjuang mengekalkan kelebihan dalam liga serta aksi suku akhir Liga Juara-Juara, tiga minggu lagi. Kami berpeluang malah prestasi pasukan semakin kukuh selepas setiap musim,” katanya.

Zaragoza berada di tangga tercorot, enam mata di belakang Sporting Gijon dan ketinggalan tujuh mata berbanding Granada dan Villarreal.

Barcelona turut berdepan masalah selepas Andres Iniesta dan Alexis Sanchez mengalami kecederaan.

Iniesta keluar padang 29 minit selepas perlawanan Rabu lalu akibat kecederaan paha dan terpaksa berehat tiga minggu.

Manakala, Sanchez berdepan kecederaan tulang selangka dan dijangka berehat dua minggu. - AFP

Advertisements

Advertisements