Pertemuan babit perkauman

LONDON: Sejarah kehebatan Piala FA malam ini bakal diuji apabila aksi pusingan keempat berlangsung dengan situasi lebih menjuruskan kepada usaha pihak pengurusan menenangkan keadaan.

Tumpuan pasti terarah kepada kunjungan Manchester United ke Liverpool dan kelibat Chelsea bertemu Queens Park Rangers di barat London dengan keempat-empat kelab terbabit bertemu buat kali pertama sejak dua kontroversi berbaur perkauman awal musim ini.

Sir Alex Ferguson menyeru penyokong United supaya berkelakuan baik apabila berkunjung ke Anfield dalam pertemuan pertama dua musuh tradisi itu sejak insiden membabitkan Luis Suarez.

“Pertemuan ini berlaku pada masa yang tepat,” menurut Ferguson dalam sepucuk suratnya kepada peminat United minggu ini.

“Pertembungan United dan Liverpool sememangnya hebat dan situasi yang berlaku sebelum ini menghangatkan lagi suasana. Sokongan anda penting untuk pasukan dan ia kelihatan begitu nyata di Anfield.

“Namun tolong bantu kami mara ke pusingan seterusnya dan memberikan sokongan anda yang terkenal itu dengan positif.” Kapten Liverpool, Steven Gerrard menyokong komen Ferguson.

“Liverpool dan United adalah musuh tradisi dan sudah pasti ia tajuk utama media dan sindiran antara peminat,” kata Gerrard.

“Namun adalah hebat jika selepas minggu ini ia diingat kerana aksi terbaik dan pada jelas sekali pada pandangan kita, Liverpool mencatatkan kemenangan.

Namun sokongan fanatik peminat terhadap kelab masing-masing kini semakin membara selepas insiden Suarez dan rayuan Ferguson dan Gerrard mungkin sia-sia.

Penyerang Liverpool, Suarez yang digantung lapan perlawanan selepas tribunal disiplin mendapati dia bersalah kerana melemparkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pemain pertahanan United, Patrice Evra masih menjalani penggantungan dan terlepas pertemuan itu.

Namun Ferguson dijangka tidak bermasalah menurunkan Evra di Anfield walaupun pemain antarabangsa Perancis itu menjadi individu paling dibenci majoriti penyokong Liverpool yang tegas mendakwa Suarez tidak bersalah.

Bekas pertahanan United, Viv Anderson yang menjadi pemain kulit hitam pertama mewakili England di peringkat antarabangsa yakin Evra bakal berdepan masalah menangani situasi itu.

“Patrice perlu bermain 100 peratus,” kata Anderson.

“Pastinya dia akan ditempelak namun dia tidak melakukan sebarang kesalahan, kenapa dia tidak boleh beraksi? Dia berpengalaman luas dan matang untuk menanganinya. Ia bukanlah kali pertama dia dicera. “Saya percaya persembahannya tidak akan terganggu di Anfield.” - AFP

Advertisements

Advertisements