Chelsea elak sejarah buruk

LONDON: Menjelang perlawanan pusingan keempat Piala FA menentang Queens Park Rangers (QPR), Chelsea memiliki pelbagai sebab untuk mengelak keputusan perlawanan pertama liga berulang.

Kekalahan 0-1 23 Oktober lalu satu tamparan hebat buat anak didik Andre Villas-Boas sekali gus menggugat peluang pasukan di tempat keempat liga itu yang mengakhiri perlawanan dengan sembilan pemain selepas Didier Drogba dan Jose Bosingwa dibuang padang, menjuarai Liga Perdana.

Malah perlawanan itu juga menjadi tumpuan apabila kapten John Terry dituduh menghamburkan cemuhan berbaur perkauman terhadap Anton Ferdinand.

Terry bagaimanapun sekeras-kerasnya menafikan dakwaan itu dan memaksa polis menjalankan siasatan dan kes itu akan dibawa ke mahkamah Majistret Barat London minggu depan.

Terry dan Ferdinand akan diturunkan dalam kesebelasan utama dan QPR menambah jumlah anggota keselamatan yang berkawal di stadium. Ferdinand turut memikirkan sama ada mahu berjabat tangan atau tidak dengan bintang England itu sebelum perlawanan bermula.

Pengerusi Chelsea, Bruce Buck dan pemilik Rangers, Tan Sri Tony Fernandes cuba menenangkan keadaan apabila menyeru peminat supaya tidak menimbulkan unsur perkauman.

“Diskriminasi tidak ada tempat dalam bola sepak mahupun masyarakat,” kata mereka dalam kenyataan itu. “Kedua-dua kelab menghargai peminat tapi mengingatkan mereka supaya mengawal diri daripada membuat kenyataan yang tidak menyenangkan peminat kedua-dua pasukan.

“Kami akan bekerjasama dengan polis untuk memastikan tidak ada seorangpun melakukan diskriminasi dan kata-kata kesat.” Pengurus QPR, Mark Hughes yakin tumpuan Ferdinand, adik kepada pemain Manchester United, Rio Ferdinand tidak akan terganggu.

“Dia tidak datang kepada saya sambil berkata ‘Bos, saya perlu bercakap mengenai isu ini’ dan saya rasa isu ini tidak mengganggunya,” kata Hughes.

“Saya akan berbincang dengannya untuk mengetahui kedudukannya. Tidak wajar jika saya tidak bertemunya.

“Saya akan bercakap dengannya tapi tiada apa yang boleh mempengaruhi keputusan saya untuk menurunkannya.” - AFP

Advertisements

Advertisements