Shebbie: Mutu pengadilan bola sepak negara dipersoal

WALAUPUN musim Liga Super baru bermula, kehadiran LionsXII sudah meningkatkan profil kepada sukan bola sepak tempatan.

Selepas menghilang selama hampir 11 tahun, pasukan itu musim mendapat liputan meluas di akhbar tempatan. Hampir keseluruhan media membuat liputan terhadap pasukan LionsXII sekali gus mengundang minat dari negara jiran itu.

Tetapi apa pula nasib Liga S, liga tempatan Singapura yang diwarnai kehadiran pasukan Harimau Muda? Hakikatnya, media arus perdana kini kelihatan lebih mementingkan LionsXII ke Malaysia dan ini akan menjejaskan prestasi Liga S.

Pada masa sama, saya ingin menyentuh isu disiplin atau lebih kepada kekurangan disiplin di kalangan pemain. Penyerang Manchester City, Mario Balotelli digantung empat perlawanan kerana mengasari pemain tengah Tottenham Hotspur, Scott Parker. Balotelli boleh dianggap sebagai seorang pengecut dan tidak hairanlah dia digantung.

Tetapi apa pula hukuman yang akan dijatuhkan ke atas pemain yang bertelagah dengan penonton seperti dilaporkan berlaku di salah sebuah stadium di negara kita? Selain itu, timbul pula persoalan adakah pemain yang menerima kad merah atau melakukan kesalahan, dilarang berlatih dengan pasukan masing masing? Jawapannya tidak, kerana bola sepak adalah kerjaya pemain itu.

Bagaimana pula dengan jurulatih yang dijatuhkan hukuman gantung, mengapakah jurulatih ini dilarang melatih pasukan masing masing? Bukankah bidang kejurulatihan kerjaya mereka sebagai jurulatih profesional? Justeru, wujud sedikit konflik antara kerjaya dan bola sepak di negara kita. Saya faham sikap jurulatih harus menjadi contoh tetapi tindakan keterlaluan ini harus dikaji semula.

Tindakan seperti ini harus dikaji semula seperti dilaksana di negara Barat apabila jurulatih yang digantung hanya dilarang membabitkan diri sewaktu perlawanan saja.

Oleh kerana itu saya bersimpati dengan B Sathianathan yang terpaksa menjalani hukuman gantung tahun lalu dan kini nasib sama melanda Wan Jamak Wan Hassan selaku jurulatih Kedah.

Pada pendapat saya, individu harus dihukum tetapi mengapa pula Kedah turut dihukum? Isu mutu pengadilan sudah menjadi darah daging dalam bola sepak dan kita tidak dapat mengelak walau di mana jua liga bola sepak, akan berlaku keanehan.

Keputusan pengadil boleh diterbalikkan selepas perlawanan seperti isu kad merah atau kad kuning dan apa pula salahnya jika jurulatih meluahkan pendapat mereka? Sebagai orang dewasa, pengadil kita harus memahami yang kerjaya seorang pengadil adalah unik kerana mereka hanya akan dicaci dan tidak akan dipuji.

Tetapi, emosi dalam bola sepak selalunya bersifat sementara.

Advertisements

Advertisements