PKNS terkedu kebangkitan Sabah

GARA-gara komennya mengenai pemain import, pengendali PKNS FC, Abdul Rahman Ibrahim terpaksa berada di tempat duduk penonton ketika menyaksikan anak-anak buahnya mencatatkan keputusan seri keempat Liga Super selepas terikat 2-2 dengan Sabah di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Kelana Jaya, semalam.

Bekas jurulatih kebangsaan yang membimbing PKNS FC menjuarai Liga Perdana musim lalu digantung dan denda tiga perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekali gus memaksa penolongnya, Anuar Abu Bakar mengambil alih peranannya di bangku simpanan.

Ketiadaan Abdul Rahman pada awalnya tidak menjejaskan prestasi pemain PKNS FC apabila mengasak pelawat sejak wisel permulaan dan mendapat beberapa peluang untuk membuka jaringan terutamanya dengan kehadiran penyerang import PKNS FC dari Perancis, Michael Nicoise yang turut buat kali pertama bergandingan bersama Rudie Ramli.

Nicoise memastikan kehadirannya dirasai pada minit ke-44 apabila sepakan percuma di luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol Sabah, Azizon Abd Kadir ketika Sabah masih gagal menemui rentak sebenar dengan gerakan mereka sering kali gagal memecahkan benteng lawan.

Bersambung babak kedua, Sabah memasukkan Bobby Gonzales untuk menguatkan jentera serangan dan seterusnya mencari gol penyamaan namun tuan rumah sebaliknya menggandakan kedudukan.

Nicoise meledak gol keduanya pada minit ke-53 apabila melepasi kawalan kapten Sabah, Mohd Reithudin Ag Emran sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan Azizon buat kali kedua.

Situasi terbabit terus menyebabkan pelawat tertekan namun mampu menyamakan kedudukan pada minit ke-74 menerusi tandukan pemain importnya dari Australia, Michael Baird yang menyudahkan hantaran silang Shahrudin Yakup diikuti jaringan sendiri pemain pertahanan PKNS FC, Helmi Remeli pada minit ke-82 untuk berkongsi satu mata.

Advertisements

Advertisements