ROME: Juventus mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini selepas pasukan keduanya membelasah pasukan terkuat AS Roma, 3-0 dalam saingan Piala Itali, semalam.
Emanuele Giaccherini memulakan rentak kemenangan dengan jaringan pertama pada minit keenam selepas melepasi perangkap ofsaid lawan, jaringan yang hampir sama dengan gol kedua ketika menentang Atalanta, Sabtu lalu.
Selepas itu giliran pemain veteran yang juga ikon Juve, Alessandro Del Piero menggandakan kedudukan pada minit ke-30. Pemain berusia 37 tahun itu merembat deras ke penjuru kiri gawang gol Maarten Stekelenburg.
Roma langsung gagal mempamerkan peningkatan di babak kedua terutamanya selepas beraksi dengan 10 pemain pada m-68.
Pemain antarabangsa Argentina, Erik Lamela dibuang padang kerana mengasari Giaccherini betul-betul di depan penjaga garisan.
Kesempatan itu digunakan sebaik mungkin oleh Juve. Fabio Quagliarella mengumpan cantik kepada Alessandro Matri untuk gol ketiga pada minit terakhir permainan bagi berdepan pemenang antara AC Milan dan Lazio di separuh akhir.
Sementara satu lagi separuh akhir bakal ditentukan pemenang pertemuan Siena-Chievo serta Napoli-Inter Milan. - AFP