Kedah FA - Mahu Robek Kijang

SELEPAS melakukan penampilan sulung berdepan Selangor PKNS dalam saingan Liga Super Selasa lalu, Baddrol Bakhtiar kembali bersemangat membantu Kedah menjelang pertemuan getir berdepan Kelantan di Alor Setar malam ini.

Sekadar turun sebagai pemain gantian, Baddrol kini tekad mencari kemenangan pertama di laman sendiri andai diberi peluang membarisi kesebelasan utama Kedah.

“Saya berpuas hati walaupun masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua. Itu merupakan aksi kompetitif saya dalam Liga Malaysia 2012 dan berharap dapat diturunkan jurulatih sebagai pasukan utama,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menyedari hanya tiga mata penuh mampu melonjakkan Kedah keluar dari kelompok bawahan liga, Baddrol berharap rakan sepasukan meneruskan asakan bertubi-tubi ke gawang pelawat bermula tiupan wisel pertama.

“Kita tahu Kelantan sebuah pasukan kuat musim ini. Namun, saya percaya kemenangan mampu diraih, walaupun kami bermula sedikit perlahan kali ini,” katanya yang mengakui sudah pulih daripada kecederaan, namun belum mencapai tahap terbaik.

Wira skuad bola sepak Sukan Sea di Indonesia tahun lalu itu, terlepas aksi awal liga berikutan kecederaan kaki yang dialaminya ketika menentang pasukan Liga Perdana Perlis, pada pertemuan persahabatan, Disember lalu.

Musim ini, pertahanan Kedah sudah melepaskan tiga gol ketika tewas kepada T-Team, namun skuad pimpinan Nizam Adha Yusuf berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri.

Advertisements

Advertisements