Kedah masih ‘kamarau’

SAYA bukan penakut untuk melarikan diri dengan meletakkan jawatan sebagai pengurus hanya kerana berada dalam keadaan tertekan setelah mengalami kekalahan ketiga kepada Johor FC 1-3 pada perlawanan tadi (kelmarin),” demikian kata Datuk Khazali Din ketika ditemui di Stadium Darulaman.

Kedah yang mencari kemenangan sulung bertemu Johor FC terpaksa akur dengan kehebatan lawan sehingga memaksa mereka menerima kekalahan kedua di gelanggang sendiri setelah diaibkan Kelantan pada perlawanan sebelum ini.

Menurut pengurus Kedah itu, peminat yang menyaksikan perlawanan itu di Stadium Darulaman boleh membuat andaian sendiri dengan persembahan setiap pemain.

“Saya sudah mengatur beberapa perancangan bagi memastikan Kedah bangkit ketika bertemu Kuala Lumpur selepas ini dan sudah menyenaraikan beberapa pemain import dari Eropah dan juga Afrika menjalani ujian di Alor Setar. Seorang lagi pemain dari Maghribi sudah berada bersama kita.

“Philimon Chipita bekas pemain Perlis juga dijangka tiba esok (malam ini) dan dijangka semua sembilan pemain import akan cuba mengisi dua kekosongan barisan Hijau Kuning.

“Saya tidak pernah mengabaikan pasukan ataupun kebajikan pemain negeri, malah sentiasa mengambil berat keadaan mereka.

“Saya mahu mental mereka setiasa fokus kepada perlawanan,” tegasnya.

Tambah Khazali lagi, mereka perlu bangkit sebelum ketinggalan lebih jauh dari segi mata pada saingan Liga Super kerana ini akan menyukarkan mereka kelak.

“Saya yakin dengan kemasukkan dua import baru, jentera Kedah tidak akan pincang lagi dan berharap jurulatih (Nidzam Adzha Yusoff) mampu melakukan sesuatu memantapkan barisan,” katanya.

Advertisements

Advertisements