Gol Shakir sekadar kongsi mata

 SEKALI PUN berjaya menjaringkan gol, penyerang muda Negeri Sembilan, Ahmad Shakir Md Ali tetap terkilan kerana gagal membantu pasukannya mencapai kemenangan apabila sekadar seri dengan Sarawak, 2-2, dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri Kuching, malam kelmarin.

Shakir meneruskan aksi cemerlang apabila menjaring gol pertama minit ke-45 sebelum Sarawak membalas menerusi Kalle Sone (m-50), tetapi Negeri Sembilan kembali di depan menerusi Shukor Adan (m-81) manakala Zamri Morshidi mengikat kedudukan menerusi jaringan minit 83.

Bagi pemain berusia 23 tahun itu, dia berpuas hati terhadap persembahannya itu walaupun mengakui cabaran malam kelmarin tampak sengit, apatah lagi tuan rumah mendapat sokongan penyokong sendiri.

“Memang rasa terkilan kerana tidak dapat membantu pasukan mencapai kemenangan dan meraih tiga mata, tetapi saya tetap puas hati kerana dapat menjaringkan gol dan apa yang penting kami tidak tewas.

“Malah keputusan itu boleh dianggap suatu kejayaan apabila pasukan dapat memperbaiki kedudukan dalam carta daripada tempat kelima sebelum ini naik satu lagi anak tangga ke tempat keempat.

“Kami akan terus berusaha untuk memperbaiki kedudukan ini dan seterusnya berada di puncak carta liga menjelang perlawanan akan datang,” katanya semalam.

Shakir yang kini mengumpul tiga gol selepas menamatkan lima perlawanan mengakui prestasi semakin meningkat dan berazam untuk memberikan persembahan terbaik menjulang nama pasukan.

Advertisements

Advertisements