Hughes mahu kata putus FA

LONDON: Mark Hughes percaya perlu ada kata putus tentang prosedur berjabat tangan sebelum perlawanan selepas amalan terbabit dibatalkan menjelang pertemuan Piala FA yang menyaksikan Chelsea menewaskan Queens Park Rangers.

Keputusan lewat untuk mengabaikan prosedur itu diambil Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA) berikutan spekulasi hangat pertemuan Anton Ferdinand dengan John Terry di Loftus Road.

Dua pemain terbabit bersemuka untuk pertama kali sejak pertemuan Liga Perdana antara kedua-duanya apabila Terry didakwa bersikap perkauman terhadap pemain pertahanan QPR terbabit yang bagaimanapun dinafikan kapten Chelsea itu.

Kes membabitkan Terry akan didengar di mahkamah pada Selasa dengan ketegangan semakin memuncak dalam pertemuan itu dengan Ferdinand dihantar sebutir peluru menerusi pos menjelang pertemuan itu -tindakan diambil untuk mengurangkan konfrontasi dua pemain itu.

Pengurus QPR, Hughes mengalu-alukan keputusan itu dan mengakui permintaan kelabnya untuk FA mengubah prosedur dibuat selepas mesyuarat pada Jumaat antara pemain dan pegawai Rangers.

“Ia adalah keputusan yang tepat,” katanya. Terdapat terlalu banyak ketegangan dalam masa singkat, ia mengatasi perkara utama iaitu perlawanan Piala FA.

“Keputusan kami secara bersama adalah tepat. Terdapat perbincangan pada Jumaat. Kami bermesyuarat bersama pengurusan dan pemain semalam (malam kelmarin). Chelsea turut mempunyai pandangan mereka, begitu juga kami yang mendapat keputusan yang sama.” Hughes mengakui sesetengah pemain bimbang untuk menyokong Ferdinand jika pemain pertahanan itu memilih untuk tidak berjabat tangan dengan Terry.

“Ia turut boleh menjadi isu,” katanya. “Pemain perlu membuat keputusan sendiri. Anton adalah individu yang perlu membuat keputusan sendiri sama ada mahu bersalaman dengan Terry.

“Jelas sekali saya berpandangan secara berkumpulan, mereka mahu mahu memberikan sokongan kepada rakan sepasukan. Jadi ia satu persamaan.

“Kenapa perlu berjabat tangan jika mereka tidak melakukannya dengan integriti? Jika mereka tidak benar, kenapa melakukannya? Mereka amat menjengkelkan.

“Saya tidak tahu siapa yang mengimpikan ia atau kenapa orang ramai berpendapatan ia adalah penting untuk melakukannya. Kenapa tidak melakukannya dulu ?” Ferdinand dan Terry berada dalam kesebelasan utama perlawanan yang ditentukan menerusi sepakan penalti Juan Mata pada babak kedua yang membolehkan Chelsea mara ke pusingan kelima.

Andre Villas-Boas turut menyokong keputusan untuk mengabaikan berjabat tangan dan mengelakkan potensi ketegangan yang mungkin berlaku.

“Ia adalah keputusan yang bagus, ia memberikan harapan apa yang bakal berlaku ketika berjabat tangan,” kata pengurus Chelsea itu.

Villas-Boas percaya permainan Terry mempamerkan keupayaan pemain itu mengekalkan persembahan walaupun gangguan di luar padang.

“Sejak menentang Aston Villa, kami lebih tersusun di bahagian pertahanan, tidak melepaskan terlalu banyak gol. Ia memberi hasil kepada kami. Kami lebih mantap. Secara individu John mempamerkan persembahan yang hebat.

“Sangat fokus. Dia mampu memberikan tumpuan penuh kepada perlawanan dan meminggirkan kejadian di luar padang.” Chelsea bagaimanapun mendapat berita kurang menyenangkan apabila pemain tengah Brazil, Ramires mengalami kecederaan namun Villas-Boas berharap ia tidak seburuk yang dijangka.

“Ia kelihatan kecederaan ligamen medial,” katanya.

“Kecederaan lutut itu tidak terlalu teruk seperti sepatutnya. Dia akan menjalani MRI esok (hari ini) dan kami akan mengetahui keadaan sebenar namun berharap dia tidak perlu menjalani pembedahan.” -AFP

Advertisements

Advertisements