T-Team bakal tamat kontrak Zacharia Simukonda

KUALA TERENGGANU: Khidmat pemain import Zacharia Simukonda bersama pasukan T-Team bakal berakhir apabila kontrak pemain kelahiran Zambia itu dijangka ditamatkan dalam masa terdekat ini atas sebab-sebab kecederaan.

Ketika mengesahkan demikian, jurulatih Yunus Alif berkata T-Team akan menguji beberapa orang pemain baru dalam sehari dua ini untuk menggantikan tempat Zacharia.

"Kita akan uji sekurang-kurangnya enam pemain dari Mali, Bosnia dan juga England," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Yunus berkata Zacharia mengalami kecederaan kerana tisu di pangkal pahanya koyak dan memerlukan masa yang lama untuk pulih.

Beliau berkata T-Team akan menanggung kerugian sekiranya mahu menunggu Zacharia pulih daripada kecederaan.

"Jadi kita terpaksa mencari pemain import baru bagi mengelak prestasi pasukan terjejas," katanya.

Beliau berkata perbincangan dari hati ke hati akan diadakan dengan Zacharia petang ini bagi menyelesaikan masalah pampasan dan hal yang berkaitan dengan penamatan kontrak.

Yunus berkata T-Team berharap dapat menggunakan khidmat pemain import baru sebelum 13 Feb iaitu tarikh akhir pendaftaran pemain import ditutup oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Kalau kita tidak mendaftar dalam tempoh itu, kita terpaksa tunggu tarikh baru pendaftaran pemain import pada April depan," katanya.

Beliau berkata dalam masa ketiadaan pemain import, T-Team terpaksa membuat persediaan dengan bergantung sepenuhnya kepada pemain tempatan untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

"Walaupun tanpa pemain import, saya yakin pemain tempatan dapat melakukan yang terbaik," katanya - BERNAMA

Advertisements

Advertisements