Mancini bimbang keputusan pengadil

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Roberto Mancini lebih bimbangkan keputusan pengadil pada perlawanan menentang Everton hujung minggu ini berbanding tumpuan media terhadap Carlos Tevez yang beraksi kali terakhir untuk kelab itu September lalu.

Mancini tidak puas hati terhadap keputusan pengadil sejak beberapa perlawanan lalu, terakhir di Anfield minggu lalu apabila pengadil menghadiahkan penalti kerana bola didakwa terkena tangan Micah Richards sekali gus menghadiahkan Liverpool tiket ke final Piala Liga.

Kini, pengurus Itali itu mendakwa pengadil menanggung bebanan kerja berlebihan dan mengambil contoh Phil Dowd yang mengadili perlawanan kelima dalam tempoh 22 hari di Anfield.

“Saya rasa mereka juga menghadapi masalah. Jika pemain menghadapi masalah beraksi dua, tiga hari sekali, begitu juga pengadil yang pasti kepenatan,” katanya.

Mancini ingin melihat kebangkitan segera anak buahnya selepas tersingkir dari Piala FA dan Piala Liga dei mengekalkan kelebihan tiga mata pada saingan liga.

City tewas agregat 2-3, selepas seri 2-2 di Anfield dan ia sukar ditelan Mancini kerana berazam membawa pasukan ke Wembley.

Kerana itu, beliau tetap menganggap pengadil punca kegagalan City menjulang piala.

“Kami menghasilkan dua gol dan sepatutnya sudah cukup untuk ke final tetapi kemudian kami melepaskan dua gol pula, satu daripadanya penalti, walhal ia bukan. Pengadil melakukan kesilapan,” katanya.

Sementara itu, kelab Eropah antaranya PSG, AC dan Inter Milan hilang minat untuk mendapatkan Tevez kerana City meletakkan harga perpindahan terlalu tinggi, AS$39.6 juta (RM120 juta).

Namun, laporan terkini mengatakan Liverpool kemungkinan berminat untuk mendapatkan bintang Argentina itu. - AFP

Advertisements

Advertisements