Ultras Kedah berang sikap KFA

KEGAGALAN skuad Hijau Kuning meraih kemenangan selepas tiga perlawanan membangkitkan perasaan kurang senang penyokong setia Kedah.

Tewas 0-3 kepada T-Team, diikuti sekadar mencatat dua keputusan seri tanpa jaringan berdepan Lions dan Selangor PKNS meletakkan bekas juara berganda 2007 dan 2008 itu terperosok di zon bawahan liga.

Jurucakap Ultras Kedah, Wan Warga menyalahkan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kerana didakwa tidak cekap menguruskan pasukan musim ini.

Katanya, ia dilihat melalui pemilihan pemain, penajaan, merchandise, rekaan jersi dan sebagainya.

“Sikap pihak KFA sekadar tangkap muat dalam semua perkara sangat menjelikkan kami sebagai penyokong.

“Sepatutnya Kedah yang merupakan satu kuasa bola sepak di Malaysia ini dapat menjadi profesional dari pelbagai sudut,” katanya.

Wan Warga dalam nada tegas berharap, pengurus atau mana-mana individu dalam persatuan perlu meletak jawatan sekiranya tidak mampu menjalankan kewajipan atau amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Ultras Kedah tidak rela melihat pasukan Kedah menjadi pasukan belasahan dalam sai­ngan Liga Malaysia tahun ini. Sesuatu harus dilakukan bagi mengelakkan Kedah terhumban ke Liga Perdana seperti dilalui pasukan jiran Perlis dan Pulau Pinang,” katanya.

Advertisements

Advertisements