LONDON: Arsene Wenger menegaskan kekecewaan yang berterusan kerana kegagalannya menamatkan kemarau trofi Arsenal selama tujuh tahun tidak akan merencat usahanya untuk meletakkan kelab itu kembali ke landasan yang tepat.
Wenger, pasukannya menanti kunjungan Aston Villa pada saingan Piala FA malam ini, menjadi bahan kutukan ketika kekalahan di laman sendiri di tangan Manchester United minggu lalu apabila beliau memutuskan untuk menggantikan pemain sayap, Alex Oxlade-Chamberlain dengan Andrey Arshavin yang tidak menyerlah.
Peminat yang marah berteriak “Anda tidak tahu apa yang anda lakukan” terhadap Wenger, manakala kapten Arsenal, Robin van Persie dilihat menjerit “Tidak” terhadap pengurus berbangsa Perancis itu.
Untuk menjadikannya lebih buruk buat Wenger, kesilapan Arshavin ketika bertahan membenarkan United menjaringkan gol kemenangan lewat perlawanan sekali gus menyebabkan Gunners mengalami kekalahan ketiga berturut-turut.
Ketika Arsenal kini menduduki tangga kelima, empat mata di belakang pasukan tangga keempat Chelsea bagi buruan ke Liga Juara-Juara, Wenger mungkin akan berdepan reaksi lebih teruk jika Arsenal tumpas di tangan Villa pada pusingan keempat Piala FA.
Namun Wenger tidak berganjak dengan keyakinannya beliau boleh mengubah nasib kelab itu, tidak kira apapun pendapat penyokong.
Ditanya mengenai ejekan diterimanya minggu lalu, beliau berkata: “Saya boleh menerimanya. Saya tidak memikirkan mengenai reaksi peminat, saya hanya fikir bagaimana kami boleh memenangi perlawanan.
“Saya akan terus hidup dengan nilai-nilai yang saya fikirkan betul dalam bola sepak. Satu atau dua perlawanan kalah, atau satu atau dua reaksi buruk, tidak akan mengubahnya.
“Saya sering percaya reaksi penyokong bergantung kepada kami. Pasukan perlu mendapat sokongan tidak berbelah bagi penonton dan peminat perlu berbangga dengan pasukan.
“Apa yang mengecewakan saya kami menghasilkan persembahan buruk pada babak pertama menentang United, tapi pada babak kedua kami kembali menyerlah dan sepatutnya menang.
“Kami tidak seharusnya kalah. Pasukan tidak mendapat kredit yang sepatutnya bagi persembahan pada babak kedua.” - AFP