ATM rampas tempat teratas

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) merampas kedudukan teratas Liga Perdana daripada PDRM selepas menundukkan Pahang 3-2 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, malam tadi.

Begitupun, 30 minit separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan empat gol berjaya dihasilkan bermula daripada tonggak import ATM, Bruno Martelotto pada minit kelapan menerusi sepakan penalti.

Gol itu hanya bertahan enam minit sebelum Mohd Saiful Nizam Miswan menyamakan kedudukan untuk Pahang selepas menanduk masuk hasil sepakan penjuru.

Bagaimanapun kegembiraan pemain pertahanan itu tidak bertahan lama selepas dia menjaringkan gol ke gawang sendiri pada minit ke-18 sekali gus meletakkan ATM kembali di depan.

Kesilapan Saiful Nizam bagaimanapun berjaya ditebus Azamuddin Akil yang menyamakan kedudukan pada minit ke-29, menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 sebelum rehat babak pertama.

Namun nasib nyata tidak memihak kepada Saiful Nizam apabila dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-73, sekali gus menyaksikannya dibuang padang.

J Christie muncul wira untuk skuad ATM apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-84 menerusi rembatan kencang dari penjuru kotak penalti.

Advertisements

Advertisements