KUANTAN - Dua lelaki maut manakala dua lagi cedera setelah kereta yang dinaiki mereka terbabas di Km117.7 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dekat Temerloh, awal pagi tadi.
Mangsa yang terbunuh, pemandu kereta berkenaan, Ismadi Kechik, 25, bekerja sebagai pencuci kereta dan penumpang hadapan, Muhammad Nazir Abd. Khalit, 22, seorang peniaga.
Dua lagi rakan mangsa yang cedera ialah penumpang belakang kenderaan tersebut, Alif Ridzuan Mohamad Nazeri, 19, dan Ahmad Ridzuan Rokbi, 23 tahun.
Menurut Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Negeri Pahang ASP Zainalabidin Othman, dalam kejadian 6.20 pagi itu, keempat-empat sahabat itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Temerloh.
"Tiba di lokasi kejadian, dipercayai kereta yang dipandu Ismadi tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelum terbalik dengan keempat-empat tayar ke atas.
"Keempat-empat sahabat yang berasal dari Kampung Bangau Tanjung, Temerloh telah tercampak ke luar dari kereta," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata Ismadi dan Muhammad Nazir cedera parah dan mati di tempat kejadian.
"Dua lagi yang cedera kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh," katanya.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- Bernama
RSS Feed
Twitter
Facebook