Ferguson kecewa

LIVERPOOL: Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson menyifatkan kekalahan 1-2 kepada Liverpool dalam Piala FA sebagai ‘menjengkelkan’ selepas juara bertahan itu mendominasi perlawanan sebelum tewas menerusi jaringan lewat Dirk Kuyt.

Jaringan dramatik Kuyt pada minit ke-88 menyingkirkan juara terbanyak Piala FA sebanyak 11 kali itu untuk membolehkan Liverpool serta pengurusnya, Kenny Dalglish selangkah mengulangi kejayaan berganda Piala Liga dan Piala FA 2001.

Pertemuan pusingan keempat membabitkan dua musuh tradisi itu adalah yang pertama sejak penyerang Liverpool, Luis Suarez digantung lapan perlawanan kerana isu perkauman terhadap pemain pertahanan United dari Perancis, Patrice Evra dalam aksi liga pada 15 Oktober lalu.

Namun pertemuan itu berlangsung tanpa insiden besar selepas Dalglish dan rakan sejawatnya, Ferguson merayu supaya semua pihak bertenang menjelang aksi terbabit.

Ketika penyokong Liverpool mengejek Evra tanpa belas kasihan, perlawanan itu sendiri berlangsung tanpa sebarang kontroversi dengan hanya satu kad kuning dilayangkan.

“Pemain menunjukkan rasa hormat antara satu sama lain,” kata Ferguson selepas itu.

“Tiada terjahan yang melampau dalam perlawanan. Ia berlangsung dengan semangat kesukanan yang bagus. Kami gembira dengan perkara itu.

“Untuk tewas adalah sesuatu yang ‘menjengkelkan’. Dari segi permainan kami lebih banyak mengawal. Kami melakukan dengan baik dalam aspek itu. Namun untuk tewas adalah sukar untuk dipercayai.

“Sesetengah penguasaan bola kami adalah bagus. Pergerakan kami ketika kehilangan bola adalah bagus. Saya menyangkakan kami mengawal perlawanan.” United turun tanpa Wayne Rooney, Nani dan Phil Jones kerana kecederaan buku lali namun Ferguson berkata pemain pertahanan England, Rio Ferdinand yang tersisih kerana kecederaan belakang bakal kembali dalam perlawanan liga di laman sendiri menentang Stoke City pada Selasa.

Pengurus Liverpool, Dalglish berkata pemainnya berhak mendapat pujian menerusi gaya permainan mereka yang bangkit sejak tewas 1-3 kepada kelab yang bergelut dengan zon penyingkiran, Bolton Wanderers pada 21 Januari lalu.

Dalglish berang selepas persembahan hambar dengan kecaman secara terbuka terhadap persembahan anak buahnya apabila menuduh mereka gagal mencapai tahap permainan Liverpool.

Pengurus dari Scotland itu bagaimanapun tidak boleh mengharapkan tindak balas yang lebih baik pada minggu ini selepas menentang Manchester City dan United.

Selepas menempah tiket ke final Piala Liga menyingkirkan City pada Rabu lalu, mereka mempamerkan persembahan bersemangat untuk mengatasi jaringan penyamaan United menerusi Park Ji-Sung yang menafikan jaringan awal Daniel Agger untuk Liverpool. - AFP

Advertisements

Advertisements