SELEPAS menegaskan kejohanan berpasukan Piala Thomas tahun ini tidak penting pada tahun Olimpik, kemunculan kejohanan berpasukan membabitkan pasukan rantau Asia Tenggara, Jemputan Piala Axiata bermula 23 hingga 25 Mac ini bakal mencetuskan kontroversi sekiranya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memutuskan untuk menghantar pasukan elit.
Kejohanan mengikut format Piala Thomas yang baru dimasukkan dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu dikatakan menjemput lapan pasukan lelaki bertanding dengan dua dari Malaysia, dua (Indonesia) serta masing-masing satu (Thailand, Singapura, Vietnam dan Filipina).
Malah kejohanan itu juga akan dilangsungkan di dua lokasi iaitu di Malaysia dan Indonesia.
Pengurus Besar BAM, Kenny Goh berkata, pihaknya belum memutuskan siapa yang akan bermain namun semuanya bergantung kepada arahan Konfederasi Badminton Asia (BAC) sama ada mahu setiap negara menghantar pasukan terbaik ataupun bebas.
“Kami belum membincangkan mengenai kejohanan ini tapi siapa yang akan dihantar tertakluk kepada permintaan BAC,” kata Kenny.
Sementara itu, Ketua Pengarah Cawangan Elit Majlis Sukan Negara (MSN), Ariffin Ghani yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Program (JKP) Majlis Sukan Negara (MSN)-BAM semalam berkata, BAM tidak menyebut mengenai kejohanan Piala Axiata dalam pertemuan kedua-dua pihak.
“Hal itu tidak dibincangkan tapi jika BAM mahu menghantar atlet elit, mereka perlu berjumpa kami dan berbincang mengenainya,” kata Ariffin.
Salah seorang daripada Pasukan Prestasi Tinggi (HPT), Leftenan Kolonel (B) Wong Ah Jit pula berkata: “Saya rasa lebih baik minta kejohanan itu diadakan selepas Sukan Olimpik. Kita tak mahu perancangan yang dilakukan untuk Program Road to London (RTL) terganggu.
“Penganjurannya amat baik kerana mempopularkan lagi sukan ini tapi saya berpendapat lebih baik kita beri pendedahan kepada pemain pelapis.” Mengenai hasil mesyuarat JKP antara kedua-dua pihak terbabit, Ariffin berkata, pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei perlu kekal berada di kedudukan teratas itu atau setidak-tidaknya nombor dua dunia pada saingan Olimpik nanti - sasaran yang mungkin tidak tersasar.
“Mengikut perkiraan untuk mendapatkan laluan selesa, Chong Wei perlu kekal di ranking pertama atau kedua namun untuk Koo Kien Keat-Tan Boon Heong perlu berada dalam kelompok empat terbaik, mereka perlu muncul juara Seluruh England.
“Begitupun kita sedar sukar untuk mereka mencapai keputusan besar ketika ini dan kami merancang untuk menyediakan pemain terbabit dalam keadaan paling bersedia bagi berdepan laluan sukar di Olimpik nanti dengan mengabaikan sasaran ranking Olimpik,” kata Ariffin.
MSN juga memutuskan skuad badminton negara akan ke London dua minggu lebih awal daripada tarikh pembukaan rasmi temasya pada 22 Julai.
“Skuad badminton negara akan berada di Universiti Bath selama dua minggu iaitu bertolak dari Kuala Lumpur pada 7 Julai hingga 22 Julai.
“Penentuan sama ada pemain akan tinggal di perkampungan sukan pada hari berikutnya, kami minta jurulatih putuskan tapi kami nasihatkan mereka supaya terus tinggal di Bath kerana mempunyai kemudahan lengkap.
“Jarak dari perkampungan sukan ke venue di Wembley juga jauh,” kata Ariffin yang mengesahkan jurulatih akan memutuskan sama ada pemain akan tinggal di perkampungan atau di Bath selepas kelayakan Piala Thomas di Macau 13-19 Februari ini.
Badminton akan membuka tirai saingan di Olimpik pada 28 Julai.