Kedah lakar kemenangan sulung

KEDAH yang bergelut dengan krisis keyakinan peminat terhadap pengurusan pasukan, mengukir kemenangan pertama pada perlawanan keenam malam tadi dengan menewaskan Kuala Lumpur 1-0 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Jaringan tunggal seawal minit keenam menerusi Mohd Khyril Muhymeen Zambri sudah cukup buat Kedah menewaskan Kuala Lumpur bagi mengutip mata penuh sulung skuad Kenari musim ini.

Diperkuat dengan dua import baru, skuad Warga Kota menguasai babak kedua dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-80 tetapi rembatan Mohd Shafiq Johari ditepis penjaga gol Kedah, Mohd Helmi Eliza Elias.

Kekalahan skuad bimbingan Razip Ismail itu terus meletakkan Kuala Lumpur di posisi tercorot liga dengan lima kekalahan dan sekali seri selepas mengharungi enam perlawanan.

Kuala Lumpur akan sekali lagi menjadi tuan rumah Sabtu ini dengan menyambut kedatangan Johor FC manakala Kedah menanti kunjungan Sabah di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Advertisements

Advertisements