Shakir Ali pastikan mata penuh buat Negeri Sembilan

NEGERI Sembilan mengutip mata penuh selepas mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas T-Team di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Kemenangan berkenaan turut mengekalkan Negeri Sembilan di tangga keempat Liga Super dan mengintai peluang untuk mencabar tiga pasukan teratas.

Bagaimanapun anak buah Azraai Khor Abdullah tersentak apabila pasukan pelawat terlebih dahulu mengejutkan skuad Jang menerusi jaringan penyerang mereka Zairo Anuar Zailani pada minit ke-36.

Seminit sebelum aksi babak pertama berakhir skuad Rusa berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan pemain import berbisa mereka Jean Effa Owona pada minit ke-44.

Jaringan Mohd Shakir Ali pada minit ke-65 pula menceriakan penyokong Negeri Sembilan yang memastikan kemenangan 2-1 berpihak pasukan tuan rumah.

Pada perlawanan seterusnya Sabtu ini, Negeri Sembilan akan berkunjung ke Stadium Jalan Besar untuk bertemu skuad Lions XII manakala T-Team menyambut kehadiran Perak di Kuala Terengganu.

Advertisements

Advertisements