GANDINGAN beregu lelaki negara bakal dirombak menjelang aksi kelayakan Piala Thomas di Macau bermula 13 Februari depan.
Bagaimanapun, Ketua Jurulatih Beregu Lelaki, Tan Kim Her belum memutuskan siapa gandingan baru tersebut dan segalanya akan diteliti sepanjang latihan pusat yang berakhir Jumaat depan.
“Percaturan ini dibuat khusus bagi menghadapi perlawanan peringkat kumpulan menentang Korea Selatan dan Hong Kong. Tetapi keputusan belum dibuat lagi kerana saya mahu lihat keserasian antara mereka,” katanya.
Menurutnya, Koo Kien Keat yang bergandingan dengan Tan Boon Heong, mungkin akan digandingkan dengan empat beregu lain iaitu Goh Wei Shem-Lim Khim Wah dan Hoon Thien How-Teo Kok Siang.
Diundi bersama Korea Selatan dan Hong Kong, Kim Her mengakui berdepan beregu Korea adalah sukar namun satu mata perlu di peroleh daripada gandingan beregu utama.
“Ini baru perancangan awal kerana dari masa ke semasa perkara ini akan dibincangkan lagi kerana apa yang penting beregu Korea perlu ditumpaskan.
“Meskipun kami digelar underdog, ia bukan masalah kerana kami tetap akan berusaha untuk dapatkan mata pada perlawanan itu nanti,” katanya.
Enggan meletakkan sebarang ramalan awal, Kim Her turut mengulas pemain yang mengalami kecederaan sudah hampir pulih sepenuhnya untuk memulakan kempen menentang Hong Kong pada 14 Februari sebelum membuat perhitungan dengan Korea keesokan harinya.