PM Palestin digesa letak jawatan

TEBING BARAT - Hampir 1,000 penduduk Palestin di bandar Hebron, Tebing Barat menuntut Perdana Menteri, Salam Fayyad supaya meletak jawatan dalam protes terhadap rancangan penjimatan yang dicadangkan beliau, kelmarin.

Dalam protes terbesar berhubung langkah ekonomi yang diumumkan, bulan lalu, penunjuk perasaan menuntut Fayyad berundur dan mendakwa beliau sebagai ejen Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

“Kami tidak mahu kerajaan yang menyebabkan kemiskinan dan pengangguran!,” menurut penunjuk perasaan.

Fayyad adalah seorang pakar ekonomi yang mendapat pendidikan di AS dan pernah bertugas di Tabung Kewangan Antarabangsa serta Bank Dunia. Beliau dianggap pemimpin Palestin yang dihormati negara Barat.

Awal bulan lalu, Fayyad mengumumkan beberapa rancangan, termasuk menaikkan cukai dan persaraan awal untuk pekerja kerajaan dalam usaha mengurangkan defisit kewangan negara itu yang dianggarkan bakal mencecah AS$1.1 bilion (RM3.3 bilion) tahun ini.

Namun Fayyad bersetuju menangguh­kan kenaikan cukai sehingga 15 Februari depan dan akan mengadakan perbinca­ngan dengan semua pihak selepas protes tercetus sejurus pengumuman itu.

Advertisements

Advertisements