Terengganu pertaruhkan petinju pelapis kebangsaan

TERENGGANU bakal mempertaruhkan dua petinju kebangsaan pada kejohanan tinju Sukan Malaysia (Sukma) di Kuatan Pahang, Julai depan.

Setiausaha Persatuan Tinju Amatur Terengganu, Razali Mamat berkata, dengan kehadiran kedua-dua petinju, Mohd Hakim Hafizuddin Kategori 46 kilogram (kg) Mohd Shahrulnizam Mohd Ali Kategori 60kg membolehkan Terengganu menghantar pasukan penuh pada kejohanan itu sekali gus mengutip pingat emas.

“Kedua-dua petinju itu baru diserapkan ke pasukan pelapis kebangsaan tahun ini setelah mengikuti latihan di pusat tinju serantau di Stadium Larkin, Johor tahun lalu.

“Sebagai persediaan menghadapi Sukma, Terengganu akan menghantar seramai tujuh atlet tinju untuk menjalani latihan di Sekolah Sukan Trang, dekat Hatyai Thailand selama sebulan, awal Mac akan datang,” katanya.

Bagi perkembangan lain, Terengganu turut menghantar empat petinju menyertai Kejohanan Tinju Terbuka dalam Kategori 52, 64, 75 dan 81 kg sebagai satu latihan dan pendedahan di Jitra Kedah selama lima hari, bermula kelmarin.

Advertisements

Advertisements