Wenger yakin Gunners lonjak

BOLTON: Arsene Wenger yakin Arsenal masih mampu menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris dalam kelompok empat terbaik sekali gus layak ke kancah Liga Juara-Juara, musim depan walaupun sekadar seri 0-0 ketika menentang Bolton, awal pagi semalam.

Namun, sebelum itu, setiap perlawanan bermula sekarang sehingga tamat musim nanti perlu dianggap seperti perlawanan akhir selepas kekecewaan di Bolton yang menyaksikan dua mata tercicir bertemu kelab kelompok empat tercorot itu.

“Sudah tentu saya yakin dapat menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik,” kata Wenger mengenai peluang Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini. “Perjalanan masih jauh. Saya yakin kami mampu bangkit.

“Kami sudah melalui tempoh sukar, tewas tiga perlawanan liga berturut-turut tetapi kami juga berpeluang memenanginya. Kami yakin tetapi perlu meningkatkan permainan dari perlawanan ke perlawanan.

“Bagi kami, setiap perlawanan kini adalah final. Kami akan memasuki tempoh di mana cabaran Piala FA, Liga Juara-Juara, dan digabungkan ketiga-tiganya, ia sesuatu yang sukar.

“Kami rasa, dua mata yang tercicir ini adalah kerana kami terlalu yakin dapat memenangi perlawanan berkenaan. Kami sudah memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan.” Lebih mengecewakan, Arsenal turut kehilangan pemain tengah England, Jack Wilshere yang mengalami keretakan tulang kaki.

Dua kali percubaan Robin van Persie dinafikan tiang gol dalam perlawanan yang menyaksikan Arsenal mensia-siakan deretan peluang ke atas Bolton yang bergelut dalam saingan liga musim ini, tetapi sekurang-kurangnya keputusan seri berkenaan menamatkan badi tiga kekalahan sebelum ini. - AFP

Advertisements

Advertisements