LONDON: Pemain pertahanan Nigeria, Taye Taiwo menyertai Queens Park Rangers (QPR) secara pinjaman hingga hujung musim ini, kelmarin, pemain pertama ditandatangani pengurus baru, Mark Hughes.
Hughes berkata, pemain pertahanan kiri AC Milan berusia 26 tahun yang berhijrah ke kelab Itali itu dari Olympique Marseille tahun lalu sudah lama diperhatikannya.
“Kejayaan mendapatkan Taiwo hebat dan kita mampu menarik pemain berkualiti. Saya tidak sabar untuk bekerjasama dengannya,” katanya dalam laman web kelab itu.
Taiwo teruja untuk mengharungi cabaran Liga Perdana.
“Saya sudah lama mengimpikan untuk beraksi dalam liga ini,” katanya. “Di mana saja anda pergi, orang bercerita mengenai Liga Perdana dan senang untuk bermain di negara yang bercakap bahasa yang sama seperti saya.” Selepas 15 tahun, QPR kembali dalam saingan utama dan kini menduduki tangga ke-16 daripada 20 kelab yang bersaing dalam Liga Perdana, dua mata di atas kelompok zon penyingkiran.
Hughes yang juga bekas jurulatih Wales dilantik sebagai pengurus bulan ini selepas Neil Warnock dipecat berikutan keputusan buruk yang berterusan. - Reuters.

RSS Feed
Twitter
Facebook